Sunday, August 18, 2013

Double Standard Versi Akhwat-Ikhwah

Double Standard.

Encik Wiki punya terjemahan adalah seperti di bawah;

A double standard is the application of different sets of principles for similar situations, or by two different people in the same situation.
Tak paham? Apa susah, google translate kan ada. Nah.

Double standard adalah penggunaan set prinsip untuk situasi yang serupa, atau oleh dua orang yang berbeza untuk situasi yang sama.

LOL. Lawaks. Okay serious.



Perasan tak, ikhwah wa akhwat yang dicintai sekalian.

Kadang-kadang (atau mungkin selalu), kita ni rasa diri kita dah ikhlas buat sesuatu kerana Allah, tapi hakikatnya tak pun. Contoh paling ketara adalah dalam bab menjaga aurat dan ikhtilat.

Pernah tak, kita alami situasi-situasi berikut.

Kes Satu

Di Bangsar, ada seorang ukhti ni yang biasanya bertudung labuh ke mana-mana. Satu hari, adik dia ajak teman pergi beli ais krim goreng dekat kedai tak jauh dari rumah mereka. Disebabkan malas, dia pon ambil je tudung serlop (baca: segera) saiz S milik adiknya. Dalam hati dia cakap,

'Takpe pakai tudung ni. Kawasan rumah ni mana ada ikhwah tinggal.'

Dan mereka makan ais krim goreng dengan gembiranya yeay.

Kes Dua

Akhwat memang dikenali sebagai sekumpulan wanita yang memenuhi ciri-ciri isteri solehah. Sebab sangat menjaga pandangan dan bersopan-santun bila di hadapan ikhwah. Nak kata punya jaganya akhwat ni, sampai kadang-kadang bila jumpa ikhwah, rasa nak lari hujung dunia. Haa over tak heh.

Tapi bila dengan classmates/office mates yang masih-belum-islam (baca: non-muslim) atau bila dengan lelaki muslim yang ala-ala rempit dan masih belum ditarbiyah, akhwat ni wat lek wat peace je duduk makan bergelak hu ha hu ha sekali.

Eh. Split personality sungguh.

Kes Tiga

Dan lain-lain yang seangkatan dengan kes satu dan dua.



Wahai akhwat wa ikhwah yang mendamba syurga sekalian!

Cuba kita tanya balik iman kita, betul ke kita ni sudah betul-betul mengikuti perintah Allah dalam surah an-nur ayat 30 dan 31 itu?

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada ........ dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. "

Allah tak cakap, 'Oh perintah ni applicable untuk sesama akhwat-ikhwah je.' TAK! Perintah ni applicable untuk semua wanita dan lelaki. SEMUA. 

Tapi kita selalu terlepas pandang. Selalu terlupa. Selalu tak sengaja.

Kita tak sedar, rupa-rupanya selama ni kita bukan segan dan takut pada Allah, tapi segan dan takut pada ikhwah/akhwat. Eh.

*pengsan*

Betulkan balik niat!

Keep praying for Mesir T.T




Sunday, March 31, 2013

Taman Syurga Bukan Taman Bunga

Pandang kiri, pandang kanan. Masing-masing sibuk dengan 'hangpong'. Penceramah cakap dekat depan macam syok sendiri pulak. Eh eh. Majlis ilmu versi orang bijak pandai (-lah sangat).

'Ramainya kita, zaman sekarang bila belajar agama, style Imam Syafie, kuat menghafal' - UAI

Imam Syafie masa belajar ilmu, permulaannya tulis atas tulang unta kerana beliau sangat miskin, tidak mampu untuk membeli kitab. Lama kelamaan, rumahnya dipenuhi dengan tulang sehingga tiada ruang untuk beliau tidur. Sahabatnya mencadangkan supaya Imam Syafie hafal ilmu-ilmu itu supaya tidak perlu lagi menulis di atas tulang. Dan beliau hafal.

Semasa beliau mengaji dengan Imam Malik, tiada duit untuk beli kitab al-muwatta. Bila Imam Malik lalu belakang beliau, beliau buat-buat tulis. Satu hari Imam Malik sedar beliau tak pakai kitab, Imam Malik tanya sama ada beliau boleh ingat. Lalu Imam Syafie baca hadith yang pertama sehingga ke hadith yang ke 1020.

Haaa. Sekarang, sila keluarkan balik segala ilmu yang pernah kita dengar dari majlis-majlis ilmu bermula dari majlis ilmu yang pertama kita pergi, sampailah yang the latest. Please?

*pengsan*



Pergi mana-mana majlis ilmu, yang kita terhegeh-hegeh tulis apa yang penceramah cakap. Rasa macam semua benda yang keluar dari mulut penceramah, semuanya berguna. Tapi, eh kejap. Orang sebelah, orang depan, orang belakang malah orang yang berada di timur laut, barat daya juga tenggara boleh kata sebahagian besar semuanya nganga, tak mencatat. Tu tak kira lagi yang sibuk dengan hangpong-nya. Masa tu jugaklah nak cek email, nak sms tanya malam nanti nak makan apa, nak buat segala benda kan? Heh.

'Dia tweet apa penceramah cakaplah erna. Cer husnozon sikit.' Okay. Bai.

Seorang junior (a sister) pernah cakap dengan saya.

'Ilmu ni bukan sekadar benda yang kita dengar. Ilmu tu benda yang kita dengar, kita ingat dan kita boleh keluarkan balik (sampaikan kat orang lain). Itulah ilmu.'

*Gulp. Lap peluh.*

Kita manusia. Manusia itu pelupa. Masa kita belajar ilmu, kita sangat yakin seratus lapan puluh satu peratus yang kita akan ingat. Esok, lusa, tulat mungkin kita boleh ingat. Tapi tahun depan? Kalau anda boleh anda hebat. Saya ceramah-ceramah yang berbulan-bulan lepas memang saya tak ingat apa dia cakap kalau saya tak rujuk balik. Serious.

'Tu masalah kau lah erna. Loser sangat dah kenapa.' -.-



Okay. Fine. So sekarang kalau anda dipanggil untuk bagi ceramah tajuk yang sama dengan ceramah yang pernah anda dengar, anda confident ke boleh bagi tanpa merujuk apa-apa sumber? Heh. Down sekarang.

'Kita ni tiada keterbukaan untuk berjihad (bersungguh-sungguh) dalam menuntut ilmu.' - UAI

Amboi hang. Kalau ilmu dunia tu, berdouble-double buku nota hang salin. Alasan? Ada test, nanti boleh  buat revision. Ilmu akhirat? Errr. Errr.

'Rugi je berhabis duit pergi majlis ilmu kalau sekadar nak nganga dan main hangpong. Baik tengok youtube.' - Anon

Satu je kelebihannya. Dalam majlis ilmu ada malaikat. So pahala dah dapat dah di situ. Tapi, apa kata kita gandakan lagi dengan merajinkan diri untuk tunjukkan keinginan nak menuntut ilmu tu? Tak rugi apa-apa pun. Hangpong pon tak lari ke mana. Dalam taman syurga kot bukan taman bunga nak tengok sambil tangkap gambar bagai. Heh.

Masa sekolah rendah dulu kita rajin catat nota. Kenapa bila besar kita sombong?


Tu kisah orang yang dah dipilih Allah untuk pergi ke taman-taman syurgaNya. Sekarang ni nak sentuh sikit dekat manusia-manusia yang tidak dipilih (ke kita yang taknak berusaha? Heh). Masa pergi satu talk baru-baru ni dekat sebuah universiti yang namanya dirahsiakan, seorang junior (budak universiti tersebut) cakap dengan saya.

'Kawan-kawan saya tak suka sangat pergi talk-talk ni.'

Sentappp. Serious tak tipu. Allah dah takdirkan satu taman syurga dibuat depan mata awak, awak tanpa rasa bersalah taknak hadirkan diri? T__T Orang lain bersusah payah, sesat bagai semata-mata nak pergi ke taman syurga yang jauh tu, tapi awak? Serious serious, tak rasa bersalah ke?

Masuk syurga nak. Pergi taman syurga malas. Apa cer bro?

Kakak usrah saya pernah cakap,

'Usaha sampai takde cara.'

Maksudnya, jangan senang-senang nak bagi alasan taknak pergi usrah atau mana-mana majlis ilmu kalau ada lagi cara yang kita tak cuba untuk pergi. Carilah seribu cara lain, as long as kita pergi. Bukan apa, maksud terpilih di sisi Allah tu teramatlah besar dan bagi sesiapa yang memang paham kebesaran makna terplih tu, nescaya dia akan rasa macam sedih yang teramat bila Allah tak pilih dia untuk pergi ke taman syurga yang dia sepatutnya pergi.

'Asal Allah tak pilih kita pergi daurah tu Kak Erna? Allah marah kita kat mana-mana ke? :(' - Adik usrah

*nangis*




Sunday, February 3, 2013

Kerana hati kita disatukan olehNya

Pernah suatu ketika,
hati ini tertanya-tanya,
di mana letaknya hikmah,
setiap ujian yang melanda.

Sehinggalah apabila aku bertemu mereka.


Haa. Kau. Ayat nak puitis je kan? Heh.

Saya teringat masa mula-mula saya masuk HELP. Stress tahap nak hentak kepala ke dinding rasa. Bukan apa, saya dah lah tak pandai cakap inggeris. Tergagap-gagap. Kena sergah sekali terus pengsan. Tiba-tiba masuk pulak ke dalam kolej yang bahasa rasminya adalah Inggeris dan Mandarin. Haaa memang.

Ditambah pula dengan suasananya yang memang kena berdikari sepanjang masa. Saya mana pernah jalan sorang-sorang. Pergi toilet pun nak berteman tahu masa dulu-dulu. Sekali Allah letak tengah-tengah KL ni, sorang-sorang. Getaq jugaklah.

Tapi, saya teringat kata-kata seorang akhwat ni.

'Allah tu akan letak kita di tempat yang kita lemah.'


Di tempat yang kita lemah. Ayat dia kedengaran simple. Tapi ayat tu lah yang membantu saya hidup di HELP ni sampai ke hari ini. Ye betul. Untuk mengajar kita erti hidup, Allah terpaksa campak kita dekat tempat yang kita tak suka, tempat yang kita susah sangat nak adapt. Sebab tu cara Allah ajari kita untuk jadi kuat. Baik kan Allah?

Ok. Stop di situ ye. Tadi mukadimah je. Sekarang masuk pengisian.

Ukhwah Fillah

Selalu saya dengar orang lafazkan ayat ukhwah fillah abadan abada. TAPI...

Bila pegang handphone, senyum sebab mesej dengan boyfriend jugak.
Bila makan kena dengan geng masing-masing jugak.
Bila gaduh sikit, mengumpat berbakul-bakul jugak.
Bila jumpa dekat jalan, jeling-menjeling jugak.

Di mana ukhwah fillah yang sibuk dilafazkan tu? Atau hanya sekadar dilafazkan di mulut, tanpa merasainya dengan hati?

Suatu masa dulu, saya pernah tergolong dalam kalangan yang sering mengungkapkan kata-kata tersebut. Kata-kata yang jika difahami, maksudnya begitu besar. Tapi sayang, kata-kata yang terungkap di mulut tak pernah sekalipun saya rasa dengan hati.

'Ukhwah fillah.

Ok dah. Selamat tinggal. Ada jodoh kita jumpa lagi en?'

Begitu maksud ukhwah fillah bagi saya.

Sehinggalah pada saat saya mengenali insan-insan yang berjiwa besar sepanjang pengajian saya di HELP.



Orang selalu cakap, everything happens for a reason.

Dan disebalik ujian tidak fly ke UK yang Allah hadiahkan buat saya, saya temui bukan 'a', tapi 'infinity' hikmah. Salah satunya, Allah ajari saya apa maksud sebenar ukhwah fillah.

:)

Pertama-tamanya sudah semestinya adik-beradik usrah saya yang saya kasihi sampai syurga. Entah kenapa, begitu banyak ilmu yang berjaya saya timba dari adik-adik yang usia mereka jauh lebih muda dari saya ini.

Allah ajari saya untuk merindui apabila mereka tiada.
Allah ajari saya untuk tidak futur apabila berseorangan.
Allah ajari saya untuk terus berjuang walau tidak berteman.

Dan semua rasa itu mula hadir setelah genap dua minggu mereka tiada.

Kalau dulu, bila duduk sorang-sorang mula lah rasa nak futur. Kalau murabbi tiada depan mata, mula lah nak mengalah. Tapi kali ini tidak. Sebab walaupun jasad adik-beradik saya tiada depan mata, saya masih dapat merasai kehadiran mereka, merasai semangat perjuangan mereka. Dan rasa itulah yang buat saya nak berlari lagi laju di atas jalan dakwah ini, nak cepat-cepat sampai destinasi, nak jumpa mereka di syurga.

InsyaAllah. Biiznillah.


Allah berfirman di dalam al-quran;

'dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.' [8:63]

Allah yang Maha Baik, bukan saja menemukan saya dengan adik-beradik saya, tapi dengan insan-insan hebat yang wajah mereka saya tidak pernah jumpa di alam realiti, tapi mengenali mereka di alam maya sudah cukup membuatkan saya rasa rindu pada mereka.

Hebat kan kuasa Allah? Bila kita berhajat untuk berubah menjadi lebih baik, nescaya Allah hantarkan orang-orang baik juga untuk dampingi kita.

Bila ingat mereka, saya teringat Allah. Malah, bila sebut saja nama mereka, saya teringat Allah. Tidak perlu saya sebut nama mereka satu persatu. Jika anda merasai getar yang saya rasa dalam hati bila mana saya melafazkan ukhwah fillah, maka andalah orang itu.


Terima kasih Allah kerana mengajarkan saya erti cinta dan ukhwah fillah ini.
Terima kasih anda semua kerana menjadi sebahagian dari diri saya.

Nanti, kita kumpul sama-sama dekat syurga ye?

:) 

'Hatta engkau terjun ke neraka, aku tetap akan terjun untuk mengambilmu semula kerana aku cintakan engkau keranaNya dan mahu berpimpin tangan tika masuk ke syurga sana.' - Langit Ilahi

Ukhwah fillah abadan abada.

This time, I really meant it.

Jangan futur! 




Thursday, January 31, 2013

KEM SINERGI II: Keluarlah Dari Comfort Zone

Kem Tarbiyah dan Kepimpinan: KEM SINERGI II

Bila dengar je perkataan tarbiyah tu, apa yang tergambar adalah kem yang suasananya sangat islam. Seperti program-program dakwah dan tarbiyah yang pernah dihadiri sebelum ni. Slot yang penuh dengan ilmu, masa yang diisi dengan ibadah-ibadah rohani seperti dhuha, al-mathurat dll. Dan sudah semestinya pergaulan/ikhtilat yang sangat terbatas.

Namun, apabila sampai saja di Kem Saujana Asahan MELAKA, rasa diri ini sangat memberontak. Sesetengah aktivitinya tidak langsung mendatangkan manfaat pada islam, fikir diri. Menari goyang-goyang punggung, percampuran lelaki dan perempuan dalam beberapa games sehingga diri ini tertanya, di mana lambang tarbiyahnya?

Terkilan. Itu saja ayat yang mampu gambarkan perasaan masa tu. Sehingga ada seorang adik yang datang bersama dengan saya berkata,

'Ingat datang sini nak rasa feel program tarbiyah yang sebenar-benarnya. Tapi kalau macam ni sama je lah dengan plkn etc.'

Risau. Cuak. Rasa macam nak kemas baju balik KL masa tu jugak. Ishhh. Biar betul kau?

Sombong Bongkak



'Korang ni sombong. Bongkak. Korang rasa korang hebat!'

Ayat yang sering diulang-ulang oleh fasi yang diberi gelaran Abah. Dalam hati membebel, 'kau ni dah kenapa tiba-tiba je cakap kitorang macam tu?' -.-

Hati yang memberontak akan digambarkan melalui mimik muka. Ya. Sungguh tak tipu. Muka masa tu dah macam apa je. Tak cover langsung. Tidak gemar dengan ayat yang dikeluarkan oleh mulut Abah. Rasa nak backhand je.

Tidak faham kenapa kem tersebut langsung tidak seperti yang diharapkan. Namun, terpaksa digagahkan juga diri untuk menghadapi 3 hari di situ.

Refleksi Diri

Malam selepas tamat kem, saya rasa kosong. Ada sesuatu yang saya rindu di kem. Tapi apa? Penat saya berfikir.

'Kenapa Allah hantarkan saya di kem tersebut? Apa yang cuba Allah sampaikan dan ajarkan pada saya?'

Hati tidak tenang. Tercari-cari hikmah di sebalik 3 hari yang berlalu di Kem Saujana Asahan. Sehingga akhirnya mata terlelap.

Hak Sesama Manusia

Izin curi gambar ni

Malam tadi, terbaca satu blogpost yang ditulis oleh Abang Long (gelaran bagi semua fasi lelaki). Pasca Sinergi II: Adakah Kita Masih Berukhwah?

Sentap. Teringat kata-kata Imam Muda Asyraf dalam slotnya Muhasabah Cinta.

'Bila Allah mencintai seseorang, Allah akan campakkan rasa Latif (kelembutan) dalam diri dia. Maksud kelembutan di sini ialah, dia akan rasa suka pada semua orang. Tiada rasa benci, iri dan sebagainya.'

Ya. Sangat terpanah petir. Saya tahu kini apa yang meresahkan saya. Saya telah lupa hak yang perlu saya tunaikan pada Abah, Bonda, Abang Long, Kak Long, Kak Ngah dan Abang Ngah. Saya mengaku, saya kurang selesa dengan suasana dan aktiviti kem tersebut, tapi perlukah sehingga saya mengabaikan tanggungjawab saya sesama manusia?

Senyum. At least. Atas semua usaha penat lelah para fasi, dan semangat para peserta, saya sepatutnya menghargai walaupun dengan hanya memberi senyuman.

Rasa tidak suka tidak patut menjadi sebab untuk tidak menunaikan hak sesama manusia.

Dari sikap yang ditunjukkan, adakah saya sudah benar-benar dicintai Allah? Sudahkan ada rasa kelembutan dalam diri saya?

Berkasih Sayang


Rasulullah sendiri pernah bersabda;

'Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.'

Di dalam hadith lain, Rasulullah bersabda;

'7 golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak, salah satunya adalah orang yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah.'

Begitu besar erti kasih sayang yang cuba Rasulullah ajar pada kita. Dan kasih sayang itu jualah yang saya perasan para penganjur program (Abah, Bonda, Kak Long dan Abang Long) cuba terapkan dalam diri Kak Ngah dan Abang Ngah sekalian. Mungkin ada kelopongan yang berlaku sepanjang program, namun itu tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita berkasih sayang kerana Allah.

Lihatlah Bagaimana Allah Mentarbiyah Manusia


3 tahun saya ditarbiyah, 3 tahun saya sudah terbiasa dengan program yang betul-betul islam suasananya, bila mana lelaki dan perempuan juga bertabir, bila mana pengisian rohani yang sangat diutamakan, bukan benda lain. Saya sudah terbiasa duduk di dalam 'comfort zone', dan apabila keluar dari 'comfort zone' tersebut, saya seolah-olah lupa segala hak-hak yang perlu saya tunaikan.

Sekarang, baru saya faham mengapa Allah memilih saya untuk menghadiri kem tersebut. Allah mahu saya lihat, tarbiyah Allah bukan setakat dalam bentuk pengisian semata, namun dalam berbagai-bagai cara. Di kem, saya belajar untuk keluar dari 'comfort zone', berani untuk sama-sama masuk lumpur, demi untuk mengajak orang yang di dalam lumpur untuk keluar dari lumpur tersebut. Bukan hanya tahu menjerit-jerit dari luar lumpur. Saya belajar erti menjadi pendakwah yang sebenar.

Dan sekarang juga, baru saya faham, kenapa Abah selalu menjerit kata kitorang ni sombong bongkak. Kerana sombong bongkak tu memang tidak patut ada pada diri seorang yang ditarbiyah. Seorang yang ditarbiyah itu seharusnya mengamalkan sikap selalu berlapang dada.

Dari kem, saya terfikir. Benarkah saya sudah betul-betul termasuk dalam golongan yang ditarbiyah?

'Dakwah tanpa sempadan. Ukhwah fillah, kekalan jalinan.'

Tagline yang sering diguna di dalam kem. Besar ertinya, sebesar jiwa orang-orang yang melafazkannya.

Kerana ukhwah itu sendiri adalah salah satu dari cabang iman.

:)

'bakal makmum' abang long, jangan risau saya dah bertunang, dengan d&t. #eh



Tuesday, January 22, 2013

Ukhwah itu, pelik. Tapi manis. :)



waktu terasa semakin berlalu 
tinggalkan cerita tentang kita
akan tiada lagi kini tawamu
tuk hapuskan semua sepi di hati
teringat di saat kita tertawa bersama
ceritakan semua tentang kita
ada cerita tentang masa yang indah

saat kita berduka, saat kita tertawa



Pelik kan ukhwah ni?
Baru kenal setahun, tapi rasa sayang tu,
dah macam adik-beradik sendiri.
Mana tak nya, pergi mana-mana pun sama-sama.
Lunch, dinner, supper, breakfast.Tu baru bab makan.
Tak kira lagi daurah, usrah, rehlah semua.

Ingat tak lagi, dulu-dulu nak pergi daurah,
beramai-ramai kita naik ktm.
Tak pun naik ERL.
Sedih jugak sebab duit banyak dilaburkan.
Tapi demi tarbiyah dan dakwah, semua kita sanggup.
Eh. Ke sebab kak faezah? Heeee. :P

Kalau naik kereta pulak,
tahan je telinga dengar makcik Shamira membebel.
Sambil Wani dekat sebelah pegang GPS.
Lin pulak mesti sibuk suruh pasang lagu Opick.
Haih. Rindu pulak terasa.

Pelik kan ukhwah ni?
Bila sorang takde, rasa kosong sangat.
Bila jauh pulak, rasa tertanya-tanya.

'Apalah yang adik beradik aku tengah buat sekarang ni?'

Kadang-kadang tu, bila dekat rumah,
berwhatsapp sama-sama.
Sampaikan famili tanya,

'mesej dengan boyfriend ke?'

Sebab selalu sangat senyum sorang-sorang,
sambil tengok handphone.
Kalaulah orang lain tahu perasaan manis tu.

Pelik kan ukhwah ni?
Kalau sorang tak dapat dihubungi,
rasa risau sangat.
Ingat lagi kes Ida hilang?
Sampai Aja nak report polis. How sweet.
Ingat jugak kes lupa beli nasi Moon.
Bersalah sangat rasa hati ni.

Pelik kan ukhwah ni?
Sampai berat badan K Erna boleh turun,
sebab terlampau susah hati,
fikir korang yang dah nak pergi.

:(

Semoga ukhwah kita akan sentiasa mekar.
Dan warnanya tak pudar.
Sebab kita berukhwah kerana Allah.
Dan sebab kita adalah adik-beradik, bukan kawan.
Ye adik-beradik,
yang lahir dari acuan dakwah usrah yang sama.


“Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka khabarkanlah bahawa ia mencintainya.”

[Abu Dawud dan At-Tirmidzi]


P/S: I love you. :)

For whoever read this post, please please and please, pray for my usrah siblings.

'Ya Allah, bagilah Siti Hajar Amirah, Hazwani Zaim, Amalina Shafie, Siti Syahida semuanya dapat ke IMU. Dan Wan Fatin Munira & Farah Shaqirah pun dapat ke UK.  Dan Shamira pulak dapat score distinction next exam. Ameen.'

Terima kasih doakan! :D


Adik-beradik, walupun kini tangan kita bakal dipimpin oleh orang lain, jangan pernah lupa janji kita untuk jumpa di syurga. Tau?




Thursday, January 3, 2013

Tahun ZERO Jahiliyah



Tahun baru! Tahun baru! Tahun baru! *pom pom pom bunga api*

Alhamdulillah alhamdulillah. Setelah bertahun-tahun hidup di bumi Allah ni, tahun 2013 kita masih berpeluang hidup lagi. Terima kasih Allah. Terima kasih Allah. Terima kasih Allah.

Pernah berkata Ibn Mas'ud,

"Setiap kali matahari terbenam, aku akan berasa menyesal kerana umurku semakin berkurangan, sedangkan amalanku tidak bertambah."

Allah. Betul kan? Umur kita makin berkurang. Kalau dicatat kita mati pada umur 23, maka hanya tinggal setahun, atau dua tahun, atau tiga tahun saja lagi yang tinggal untuk kita mengumpul bekal. Masalahnya, sedar umur berkurang, tapi amalan sikit pon tak bertambah. Acano? T__T

Amboi pakcik. Hepi baq ang.


Cepatnya masa berlalu. Kan?

Saya ingat lagi, masa mula-mula saya masuk kolej persediaan buat A Level, masa tu jahiliyah kemain. Sebulan, dua bulan, tiga bulan duduk situ, tak pernah sekali pun nak ke surau kecuali masa orientasi. Eheh. *lari nak terjun masuk longkang*

Masuk bulan ramadhan 2009, tiba-tiba hati seperti ditarik-tarik untuk ke surau. Kaki diatur penuh debar. Takut dipandang serong, takut dikutuk belakang-belakang, takut orang tengok slack.

'Eh. Budak ni. Dah ramadhan baru terhegeh-hegeh nak ke surau. Sebelum ni batang hidung pon tak nampak.'

'Cer tengok budak tu. Pakai tak cukup kain, berani datang surau.'

Macam-macam dialog rekaan mula menyerang fikiran. Assume je tu budak-budak surau akan cakap macam tu. Rasa diri ni macam dibenci oleh budak-budak surau sebenarnya. Ye lah. Budak surau kan semua budak baik-baik je.



Tapi, arghhh, lantaklah. Ada saya kesah? Surau tu bukan mak bapak diorang punya. Surau tu hak orang islam. Eceh. Sedapkan hati.

So, dengan muka tak malu, dan dengan persediaan rapi akan dikutuk atau dihalau, saya pun pergilah ke surau.

Tapi,

MashaAllah. Saya tidak dihalau. Saya tidak dikutuk. Saya tidak dipandang serong. Saya cuma tidak dilayan. HAHA. -.-

Ada jugak nampak kakak-kakak dekat dalam surau tu macam nak tegur, tapi mungkin sebab takut saya lari kot diorang pun buat tak tahu je. Cuma senyuman diberi tanda sapaan.

Sehari, dua hari, menginjak ke seminggu, menginjak ke sebulan sehinggalah selepas bulan ramadhan, saya rasa seronok pergi surau. Sehari tak pergi surau macam kebulur tak makan nasi tahu? Entah kenapa. Di surau, saya rasa selesa, saya rasa macam saya baik, saya rasa tenang, saya rasa hati saya sejuk. Allah. Rumah Allah kan? Mestilah best!

Ni lah suraunya. Kenal? :)

Dan di surau juga, perkenalan saya dengan dunia tarbiyah berlaku. Saya ingat lagi, ada seorang kakak ni approach dekat surau, ajak pergi satu program ni. Dia cakap best, free, santai, dan boleh jalan-jalan.

Dengar macam best. Dan saya pun berbesar hati nak ikut.

Maka, bermulalah perjalanan saya sebagai seorang insan yang tahu tujuan hidup. ISK - program yang sangat berjaya mengubah saya. Program yang telah mempertemukan saya dengan Cik Hidayah yang manis. Program yang keluarkan saya dari kegelapan dunia kepada cerahnya akhirat.

Sebulan, tiga bulan, enam bulan, semangat berkobar-kobar untuk terus lari di lapangan tarbiyah. Kalau ada adik-beradik lambat dekat belakang, rasa nak tarik je suruh laju sikit.

Tapi masuk bulan seterusnya,

'Taknaklah pergi daurah kak. Exam nak dekat lah.'

'Akak. Mak saya marahlah results saya teruk. Mak saya cakap kurangkan usrah.'

'Ishhh. Akak ni janganlah paksa saya pergi daurah. Tak sukalah.'

'Saya nak keluar usrah'

T__T

'Apa jadi pada kamu erna? Dulu, saya rasa semangat bila sister selalu sebut nama kamu. Erna tu, erna ni. Tapi sekarang, kamu seolah-olah dah bosan di dunia tarbiyah.'

Sentap. Ingat lagi kata-kata seorang akhwat dekat saya. Ye. Apa jadi pada saya?

'Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.' [47:31]

Tapisan

Jika AJL ada peringkat saringan,
jika AF ada peringkat saringan,
jika MENTOR ada peringkat saringan,
takkanlah ALLAH takde ye dak?

Tapisan ni comfirm berlaku pada insan-insan yang dipilih untuk diberi hidayah oleh Allah. Dapat hidayah tu satu bab, tapi apa jadi selepas dapat hidayah tu masuk bab lain pulak.

Betul ke kita ni sungguh-sungguh sanggup berjuang untuk agama Allah?
Betul ke kita ni ikhlas berada di lapangan tarbiyah ni?
Betul ke kita ni dah 100% lepaskan dunia untuk kejar akhirat?

Jika jawapannya ya, maka datanglah ujian bak ombak tsunami sekalipun, kita tak akan pernah berganjak walau selangkah dari lapangan tarbiyah ni, dari medan dakwah ni. Allah. Bukan senang nak dapat syurgaNya kan? Tapi, tak mustahil. Allah yusahhil.

Tersingkir Tarik beg lah jawabnya T__T

Bak kata pepatah ulama-ulama, iman manusia ni turun dan naik. Begitulah kita. Mula-mula ditarbiyah, semangat sungguh. Pergi majlis ilmu sampai tak cukup tanah. Kalau boleh pukul 5 pagi tu nak keluar bertebaran ketuk pintu rumah jiran-jiran ajak bangun qiam. Semangat sangat baq ang.

Tapi, lama-lama, hati rasa bosan. Diri memberontak nak kehidupan macam 'dolu-dolu'. Ayat-ayat Allah tak lagi dapat menggetarkan hati. Menangis mengenangkan dosa apatah lagi, harommm. Hmm. Hmm.

Teringat kisah jalut dan talut. Dirakamkan dalam surah al-baqarah ayat 246-251. Lihatlah bagaimana Allah uji kaum pada zaman itu untuk mengetahui siapa di kalangan mereka yang betul-betul beriman. Ternyata hanya sedikit.

First time dapat tadabur surah ni terkeluar ayat, 'Eh, macam sama je dengan aku diorang ni.' Jeng jeng.

Kembalilah Kau Iman


Bila dah sedar rupa-rupanya diri sedang ditapis, maka wajiblah kita berusaha sedaya upaya untuk tidak terkeluar. Takkanlah selamanya kita nak biar iman kita turun. Sedang adik-beradik seusrah dah nak hampir sampai ke garisan penamat, takkan kita boleh buat muka tak bersalah patah balik ke garisan mula. Kan kan?

Bagaimana untuk naikkan kembali iman?

1. Keazaman yang kuat sekuat keazaman kita nak score straight A's SPM, malah lebih kuat lagi. Eheh.

2. Ikut pesan Imam Ghazali, dapatkan kembali hati melalui 3 cara. Ye ye. Yang itu lah. Pandai pandai.

"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

3. Ambillah pengajaran dari kisah para sahabat. Sebab mereka adalah orang-orang yang paling dekat dengan Rasulullah, dan kisah mereka sangat awesome sampai bila saya baca saya rasa macam nak jumpa sangat dengan mereka dan sangat-sangat terinspirasi dengan kehebatan iman mereka. Ohh. Ohh.



Kisah Muaz & Muawwiz

Siapa Muaz & Muawwiz ni? Mereka ini adalah pahlawan perang badar. Pada ketika perang badar berlaku, umur mereka baru 14 & 13 tahun. Kisah mereka memang sangat menyentap ke hulu hati. Sampai saya rasa macam terjatuh hati pada mereka berdua. Eh.

Saya petik kisah mereka dari buku Abdul Latip Talib;

Tiba-tiba Abdul Rahman bin Auf didatangi oleh dua orang remaja daripada kaum ansar, iaitu Muaz bin Amr al-Jamuh (14) dan Muawwiz bin Afra (13). Kedua-duanya bersenjatakan pedang. Tentera Quraisy seolah-olah tidak menghiraukan kehadiran dua remaja itu kerana menganggap kedua-duanya tidak berbahaya.

'Wahai anak, kamu masih terlalu muda bagi terlibat dengan peperangan ini. Sebaiknya kamu jauhi tempat ini.' Kata Abdul Rahman bin Auf.

'Kami mendapat izin daripada kedua ibu dan ayah kami bagi menyertai pasukan Muhammad'. Jawab Muaz.

'Saya datang ke sini bagi membunuh Abu Jahal. Tunjukkan di mana dia?' kata Muawwiz dengan penuh semangat.

Pada mulanya Abdul Rahman bin Auf tidak menghiraukan kata-kata mereka, namun apabila mereka terlalu mendesak, Abdul Rahman pun bersetuju.

'Pak Cik akan tunjukkan kepada kamu di mana Abu Jahal. Boleh tahu apakah yang kamu akan lakukan apabila jumpa dengannya?' tanya Abdul Rahman.

'Ibu berpesan jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari badannya.' jawab Muaz bersungguh-sungguh.

Apabila telah ditunjukkan di mana Abu Jahal, mereka segera berlari ke arahnya tanpa menghiraukan keselamatan diri. Ketika itu Abu Jahal masih berada di atas kudanya. Dia tidak nampak kedatangan kedua remaja tersebut. Muaz yang terlebih dahulu sampai daripada kawannya Muawwiz.

Dia tidak dapat menetak Abu Jahal yang berada di atas kudanya. Muaz memancung kaki kanan kuda yang dinaiki Abu Jahal menyebabkan kuda itu tersungkur. Abu Jahal turut jatuh tersungkur. Dia bertempik marah sambil menahan kesakitan. Ketua pasukan Quraisy itu cuba bangun tapi dengan pantas Muaz menetak kaki kanan Abu Jahal sehingga terputus. Muawwiz pula menetak kepala Abu Jahal sehingga menggelupur kesakitan.

Ikramah anak Abu Jahal yang turut berada di situ segera bertindak melindungi bapanya. Dia menyerang Muaz dan berjaya menetak tangan kiri remaja itu hingga terkulai hampir putus. Ikramah membiarkan Muaz lari apabila melihat Muawwiz hendak membunuh bapanya. Maka berlaku pertarungan antara Ikramah dan Muawwiz sehingga akhirnya muawwiz gugur syahid.

Muaz pula berjaya menetak Abu Jahal dengan pedangnya dan terus berlari bagi mendapatkan Rasulullah. Tetapi lariannya terganggu akibat tangan kirinya yang terkulai-kulai hampir putus. Muaz segera berhenti lalu mengambil keputusan memijak dan memutuskan tangannya yang terkulai itu lalu berkata, 'wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku bertemu Rasulullah.'

Tanpa menghiraukan kesakitannya, Muaz terus berlari hingga bertemu Rasulullah. Kemudian Muaz memeluk Nabi Muhammad.

'Wahai Rasulullah, saya dna Muawwiz berjaya mencederakan Abu Jahal. Tetapi dia masih hidup kerana kami diserang anaknya Ikramah.' beritahu Muaz lalu menunjukkan di mana Abu Jahal berada.

MashaAllah mashaAllah mashaAllah. Hebatnya mereka berdua kan? Baru belasan tahun, tapi semangat cintakan islam tu membuatkan mereka nampak sangat matang dan awesome. Jatuh cinta bukan?

Bukan mereka saja. Sahabat-sahabat lain pun kisah mereka tak kurang hebatnya. Jika kita baca, mesti kita rasa macam baru dicuci iman dan dipolish jiwa yang berkarat ni. Eheh.

2013


Mari kita sama-sama berazam, tahun ni adalah tahun zero jahiliyah! Bukan hanya di mulut, tapi pada tindakan jugak tau!

Jom sama-sama kita isytiharkan cuti 24/7 selama 365 hari bagi malaikat pencatit di sebelah kiri, dan malaikat pencatit sebelah kanan, sila bersedia untuk tidak berhenti mencatit. InsyaAllah insyaAllah.:D


Jom sama-sama kita lari pergi syurga, nak? :)





Monday, November 26, 2012

Budaya Yang Memperdaya

 'Hari ni, sudah berapa jam aku duduk depan laptop?'

Pernah tanya tak soalan ni dekat diri sendiri? Tanpa kita sedar, kita sedang spend masa sebenarnya. 24 jam sehari, pernah tak kita fikir apa yang kita dah buat setiap saat. Ye setiap saat! Bukan setiap jam tapi setiap saat. Masa kita berlalu dengan sia-sia sama seperti semalam ke atau takde satu saat pun dari masa kita terbazir dengan benda ntah apa-apa.

Imam Ghazali pernah cakap pada anak-anak muridnya, benda yang paling jauh dari kita adalah MASA LAMPAU. Sebab gunalah apa cara sekalipun, kita tak dapat nak patah balik ke masa lampau tu. Dalam dunia ni ada beberapa orang je yang boleh patah balik ke masa lampau yakni Doraemon dan rakan-rakannya. *lame* Boo erna booo! -.-




Pernah dengar pasal Allahyarhamah Ibu Yoyoh Yusrah? Beliau ni seorang muslim yang super hebat tahu. Nak diceritakan hebatnya Ibu Yoyoh Yusrah ni sampai jirannya dulu (non-muslim) sanggup pindah rumah sebab tak tahan duduk berjiran dengan Ibu Yoyoh Yusrah ni. Haaaa. Apa yang Ibu Yoyoh ni buat eh? Fikir dulu, nanti last-last part bari kita bocorkan ok? Eh jangan scroll down pulak. Tak aci namanya tu. Muehehe.

Ok. Sekarang nak tanya soalan petir sekejap. Sepanjang kita ditarbiyah, sepanjang kita sibuk ke hulu ke hilir berusrah sana-sini, sepanjang kita berkobar-kobar pergi ke semua majlis ilmu, pernah tak kita masih buat dosa dalam keadaan kita sedar? As in, kita tahu benda yang kita buat tu tak best di mata Allah, tapi kita tak tahan, nak buat jugak. Haaaa. Pernah tak pernah tak? Kalau pernah, kenapa?

Tarbiyah masih tak cukup?
Suasana sekeliling yang menggoda iman?
Atau sebab taknak di cop poyo? Errr.



Sejak dari azali, kita ni, ye kita, manusia diciptakan dengan perasaan suka pada benda-benda yang menarik hati. Tapi apa jenis benda yang menarik hati tu lain-lain bagi setiap manusia. Ada orang rasa One Direction tu menarik hati, ada orang rasa korea tu menarik hati. Ada sesetengah yang lain pulak rasa One Direction dengan korea tu tak cool langsung dan dia lebih tertarik dengan novel-novel cinta yang tebal-tebal.

Apa-apa benda pun yang menarik hati kita, selagi ia sia-sia dan menjauhkan kita dari islam, maka ia patut dibuang. Kenapa? Sebab ia adalah teknik orang kafir untuk menjatuhkan islam. Bayangkan kalau kita tengah berjalan kaki ke satu tempat, then kita dapat tahu depan ada lubang, agak-agak logik tak kalau kita saja-saja  buat tak nampak dekat lubang tu dan merelakan diri kita jatuh gedebuk dan digelakkan oleh orang ramai?

Tak logik kan? Malah sangatlah pelik orang yang saja-saja nak jatuh dan digelakkan tu. Kan kan?

King Louis VI (sila google kalau tak kenal) dalam wasiat terakhirnya pernah berkata,

'Kita kalah dalam peperangan ini sebab tentera Islam berpegang teguh kepada kitab mereka (Al-Quran). Mereka berperang nak mati (syahid) manakala kita berperang nak hidup. Jadi kita kena ubah tektik dalam nak mengalahkan mereka. Kita tak usah lagi berperang gunakan senjata tapi kita perangi pegangan mereka. Kita mesti buang Al-Quran daripada dada mereka. Percayalah selepas ini kita akan berjaya.'



Orang kafir tahu kekuatan kita umat islam adalah al-quran. Maka mereka merancang untuk jatuhkan kita dengan jauhkan al-quran dari hati kita.

'Tapi, tapi, tapi kan, takde pun iklan dekat tv ke, sign board dekat jalan balik dari Kl ke Perak ke, dia tulis 'Umat Islam! Jangan baca Quran!' Haaa. Jawab jawab!'

Sila bukak al-quran, surah ke 7 ayat 20-21. Temanya, teknik iblis.

Kita guna analogi beruang dan nyamuk dari Ustazah Fatimah Syarha. Bak kata ustazah, beruang tu ibaratnya zina. Semua orang takut. Semua orang taknak dekat. Nyamuk pulak ibaratnya couple. Kita kata, 'alaaahhh, coollah, couple je bukan zina, takkan takut?' Kita tak sedar, antara beruang dan nyamuk, nyamuk lagi bahaya. Antara berita orang mati sebab beruang, dengan orang mati sebab nyamuk (aedes), mana lagi selalu?

Samalah macam teknik orang kafir ni. Diorang jauhkan kita dengan al-quran bukan dengan buat slogan, 'Katakan TAKNAK Pada Al-Quran!' Tak! Mereka jauhkan kita dengan al-quran dengan mewujudkan budaya hedonisme dalam diri kita. Mereka suap kita dengan hiburan-hiburan diorang yang kita kata super hebat tu.

Kita kata kita ditarbiyah, tapi ada kita rasa bersalah tengok artis islam pakai seksi-seksi? Ke kita yang paling galak like gambar tak tutup aurat diorang dekat instagram? Kita kata kita ditarbiyah, tapi kita still gelak bila ada artis buat lawak dekat anugerah skrin pasal islam. Kita kata kita ditarbiyah, tapi mana sensitiviti kita sebagai orang yang ditarbiyah? Kalaulah al-quran tu dekat denganhati kita, kita akan rasa bersalah sangat tengok maksiat depan mata kita sampai kita dah tak sanggup tengok lagi sebab terlampau sedih.




BUDAYA - Orang kafir berjaya serang fikiran kita, mewujudkan satu budaya dalam diri kita yang buat kita rasa benda maksiat tu ok.

Contoh paling terang, budaya bukak FB setiap kali on lap top. Semua orang ada budaya ni rasanya. Masih taknak percaya lagi fikiran kita sedang diserang?

Teringat ayat seorang sister masa daurah baru-baru ni. Dia cakap, seluruh dunia sekarang ni tengah perlukan pencerahan dari kita, orang-orang yang mengaku dirinya dah paham islam, mengaku dirinya dah ditarbiyah, dan mengaku bahawa tanggungjawab dakwah tu ada pada dirinya. Kita ni muslim, tapi ciri-ciri muslim takde pun dalam diri kita! Orang kafir habiskan berjuta-juta dolar untuk memastikan benda-benda yang digunakan untuk melalaikan kita tu up-to-date, tapi kita? Takde usaha pun nak lawan. Nak habiskan 100 ringgit untuk satu majlis ilmu pun kena fikir dua tiga kali. Shopping boleh pulak habis ratus-ratus ringgit. Seeee? Diserang lagi!



'Alaaaa. Tapi come on lah. Takkan berhibur nak hilangkan stress pun tak boleh kot? Jangan nak tertutup sangatlah kan!'

Tak. Saya tak kata berhibur tu salah. Cumanya, pernah tak kita sedar yang kita sedang ditipu? Siapa yang tetapkan dan tanamkan dalam diri kita, hiburan tu dapat hilangkan stress? Siapa? Siapa? Seeee. Tak putus-putus kita diserang. Dari segenap sudut! Masih lagi kita boleh dengan cool nya cuba nak deny yang fikiran kita masih suci bersih dari serangan orang kafir?

T____T

Ok. Berbalik pada Ibu Yoyoh Yusroh tadi. Apa yang menyebabkan jiran beliau sampai nak pindah tu? Jeng jeng jeng. Jawapannya, Ibu Yoyoh tak buat apa-apa pun. Haha. Percaya tak? Beliau cuma mengamalkan islam dengan sehebat-hebatnya dalam kehidupan beliau sehari-hari. So, apa kaitan dengan jiran Ibu Yoyoh ni? Haaaa. Nak kata hebatnya islam yang diamalkan oleh Ibu Yoyoh ni sampai jiran dia rasa nak peluk islam sebab rasa tergoda dengan amalan dan perwatakan beliau.

MashaAllah. Hebat sangat kan? Islam macam ni lah yang kita nak jadi! Islam yang tanpa berkata apa-apa, orang dah rasa tertarik. Tapi, agak-agak berjaya tak kita nak capai tahap macam Ibu Yoyoh ni kalau kita masih merelakan fikiran kita diserang oleh orang-orang kafir tu dalam keadaan kita 100% sedar?


mungkin betul berhibur tu tak salah, cuma tanggungjawab kita melebihi masa yang ada





Monday, October 29, 2012

Palestin VS Kita

'Sedihnya tengok video Palestin ni. Kejamnya Zionis.' kata seorang akhwat kepada sahabatnya di sebelah. Ada air mata yang membasahi pipinya.

Sejurus selepas menutup video Palestin di youtube yang di post oleh rakan facebooknya, akhwat itu lantas membuka satu lagi video.

'Tu video apa pulak tu?' cepat rakannya bertanya.

'Oh. Cerita *****. Nak habiskan lagi 3 episod je. Semalam aku marathon tengok 10 episod. Pukul 5 pagi baru aku tidur. Hewhew.'




Saya teringat satu ayat al-quran dari surah al-ahzab, ayat 72;

'Sesungguhnya kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan memikul amanat itu dan mereka khuwatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan bodoh.'

Hakikatnya, sebelum Allah bagi tugas khalifah pada manusia, Allah tawarkan dulu tugas khalifah tu pada langit, bumi dan gunung-gunung. Tapi semuanya menolak sebab mereka tahu betapa beratnya tugas tu. Dan bila ditawarkan tugas tu pada manusia, manusia menerima.

Ya. Mungkin kita tak ingat kita pernah menerima tugas tu. Sebab tu berlaku di alam ghaib, di mana pancaindera kita tak mampu nak capai. Sebab tu dalam al-quran Allah ingatkan balik tugas kita tu. Tapi kita, manusia, dah diingatkan banyak kali pun, masih lagi tak terkesan dekat hati. Masih lagi tak terasa beratnya tugas yang kita pegang tu.



Palestin - satu isu besar yang tiba-tiba buat kita perasan yang umat islam dekat muka bumi ni sebenarnya ramai. Protes di sana-sini. Bantuan dihulurkan dari segenap penjuru. Air mata ditumpahkan atas nama saudara seaqidah.

Alhamdulillah. At least masih ada rasa keislaman tu dalam hati kita.

Tapi, sayang seribu kali sayang, kita terlampau sibuk menangisi nasib saudara kita di Palestin, sehingga terlupa untuk mengenangkan nasib kita.

Ya betul. Palestin di bunuh. Tapi hakikatnya, kita dibunuh lagi teruk! Tapi 'mati' kita orang tak nampak, kerana yang 'mati' itu adalah jiwa kita. Walaupun Palestin dibunuh jasad, tapi jiwa mereka masih hidup di muka bumi ni. Sedangkan kita dibunuh jiwa, tapi jasad kita dilepaskan berlegar-legar di muka bumi tanpa arah tujuan.

Palestin hari-hari diserang oleh peluru, manakala kita setiap saat diserang oleh firaun-firaun moden yang berjaya memperbodohkan kita. Muzik, movie, games, internet, reality show dan banyak lagi jahiliyah yang telah berjaya merebut cinta kita pada Allah. Cinta seorang hamba pada Tuhannya. 24 jam masa kita dihabiskan tanpa menyumbang apa-apa pada islam.




Hassan Al-Banna - pada umur belasan tahun beliau dah hafal satu al-quran. Kita, umur dah masuk angka 20 an, dari ad-dhuha sampai an-nas pun tergagap-gagap lagi. Umur 22 tahun, beliau dah tubuhkan ikhwanul muslimin. Kita? Umur 21 dah sebok fikir nak kahwin.

24 jam kita dengan 24 jam Hassan Al-Banna, sangat-sangat berbeza. Tapi setiap kali sister tanya, siapa nak jadi penolong agama Allah? (Man ansarullah) Kita dengan berkobar-kobar jawab, kami kami! (nahnu ansarullah). Tapi usaha, setakat tweet dua tiga ayat al-quran, dah yakin comfirm dapat syurga.

Pengorbanan yang kita dah lakukan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah dekat bumi ni sikittttt sangat. Nak banding dengan pengorbanan para sahabat dan sheikh-sheikh hebat zaman dulu, besar jari kelingkin pun tak sampai. Susah sangat kita rasa nak manfaatkan 24 jam yang Allah bagi pinjam tu semata-mata untuk islam. Susah sangat-sangat sampai kadang-kadang kita rasa nak give up je. T__T

Tapi setiap kali rasa nak give up tu datang, teringat bait kata-kata Hilal Asyraf dalam buku Matahari,

Sungguh,
Bulan hanyalah sang kelabu berdebu,
bertompok hodoh tanpa sinar menyenangkan.
Namun ia memilih memantulkan cahaya matahari,
menjadikannya indah tanpa tandingan di malam hari.
Menyenangkan jiwa manusia,
Melapangkan hati mereka.



Betullah. Kita ni, manusia, umpama bulan. Hodoh, buruk, tak siapa nak pandang. Tapi, seperti bulan yang indah kerana memantulkan cahaya matahari, kita juga akan cantik bila kita memantulkan cahaya islam dalam kehidupan kita. Kita bermanfaat di muka bumi ni bila kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah dan abid (hamba). Dan tanggungjawab tu ditunaikan dengan perbuatan, bukan hanya dengan kata-kata.

Terngiang-ngiang kata-kata seorang sister,

'Di bumi mana pun kita berpijak, tanggungjawab kita tak akan pernah berubah!'

Ya Allah,
Ampunilah dosa mataku, yang lebih banyak melihat maksiat dari melihat keindahan ciptaanmu.
Ampunilah dosa telingaku, yang lebih banyak mendengar umpatan dari mendengar kebaikan.
Ampunilah dosa mulutku, yang lebih banyak berkata yang sia-sia dari berzikir kepadamu.

:)

P/S: Untuk mengenali firaun-firaun moden ni, saya rasa The Arrivals adalah sumber terbaik. Link ada di tepi kanan blog. Atau boleh klik sini.

Sehebat mana pun kita, kita perlu tahu bagaimana untuk menangis kerana Allah